Selamat Hari Lahir, Soo-Toh Kim Poh
Legasi Lagenda mengucapkan selamat hari lahir yang ke-76 kepada legenda bola sepak negara, Soo-Toh Kim Poh.
Soo-Toh Kim Poh yang mula bermain untuk Penang Combined Schools apabila beliau berumur 16 tahun, terus diserapkan dalam pasukan Pulau Pinang pada tahun yang berikutnya. Pada 1967, beliau bermain dengan pasukan Kedah setelah berhijrah untuk berkerja dengan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Pada tahun 1963, beliau juga terpilih untuk mewakili pasukan belia Malaysia dalam kejohanan belia Asia dan diangkat sebagai kapten pada tahun 1965. Pada tahun tersebut, Malaysia memenangi pingat gangsa setelah tewas kepada pasukan Israel 0-9 pada pusingan separuh akhir.
Soo-Toh Kim Poh menyarung jersi Harimau Malaya dari tahun 1967 hingga 1970 dan mencapai 60 caps bersama pasukan Malaysia. Dalam tempoh tersebut, beliau dapat mewakili Malaysia di Pestabola Merdeka, Piala Kemerdekaan Vietnam Selatan, Piala Raja Thai, Sukan SEA dan lain-lain.
Nantikan paparan kami yang akan mendalami kerjaya Soo-Toh Kim Poh. Kami berharap segala jasa dan pengorbanan beliau untuk bola sepak negara akan sentiasa diingati oleh generasi sekarang dan yang akan datang.